Julian merupakan seorang pelajar kolej yang menemui iklan cabutan bertuah di media sosial yang mengandungi satu pautan. Tertarik dengan iklan tersebut, beliau mengklik pautan itu dan memulakan perbualan di WhatsApp dengan seorang individu yang tidak dikenali.
Julian diminta membeli sepasang kasut dan sebuah jam tangan berjumlah RM600 untuk melayakkan diri menyertai cabutan bertuah tersebut. Beliau kemudian diminta membuat satu lagi pemindahan sebanyak RM1,000 untuk melayakkan diri bagi cabutan hadiah utama yang menawarkan sebuah iPhone 14 Pro Max dan wang tunai RM7,000.
Beliau memindahkan sejumlah RM1,600 dari akaun e-dompetnya untuk membayar barangan tersebut. Beliau merasakan telah ditipu selepas tidak menerima hadiah cabutan bertuah yang dijanjikan. Beliau membuat laporan polis dan melaporkan kejadian itu kepada pengeluar e-wang pada hari yang sama.
PENEMUAN
Hasil siasatan mendapati bahawa transaksi pembayaran dilakukan menggunakan akaun e-dompet Julian yang dipautkan kepada nombor telefon bimbit berdaftarnya. Sebelum transaksi dilakukan, PIN 6 digit diperlukan untuk log masuk yang berjaya.
Tambah nilai sebanyak RM1,550 juga telah dibuat ke dalam akaun e-dompetnya, yang memerlukan pengesahan menggunakan Pin Sekali Sahaja. Selain itu, tiada perubahan dibuat pada peranti yang dikaitkan dengan akaun e-dompet Julian. Keadaan ini selaras dengan kronologi kejadian yang menunjukkan bahawa Julian secara sukarela melakukan transaksi tersebut selepas diperdaya oleh iklan cabutan bertuah dalam talian.
KEPUTUSAN
Ombudsman menolak tuntutan Julian dengan menegaskan bahawa transaksi dilakukan menggunakan akaun e-dompetnya pada peranti sedia ada, iaitu Redmi Note 11, yang telah dipautkan sejak 6 Disember 2022. Tambahan pula, pemindahan dana kepada penerima telah disahkan menggunakan PIN 6 digit, yang membolehkan transaksi diselesaikan.
Ombudsman menekankan bahawa adalah menjadi tanggungjawab pengguna untuk berwaspada sebelum membuat sebarang pemindahan pihak ketiga bagi melindungi dana dalam akaun e-dompet mereka.
