Kerugian Kenderaan Sendiri – Jenayah Pecah Amanah

Luis telah mengiklankan kenderaannya untuk dijual di Facebook Marketplace, dan seorang pembeli yang berminat meminta untuk melihat dan memandu uji kereta tersebut pada hari yang sama. Namun, semasa sesi pandu uji, pembeli tersebut melarikan diri bersama kenderaan berkenaan dan tidak lagi dapat dihubungi.

Luis segera membuat laporan polis dan seterusnya memfailkan tuntutan kecurian kepada penanggung insurans. Namun, tuntutan tersebut ditolak kerana insiden itu diklasifikasikan sebagai jenayah pecah amanah, yang tidak dilindungi di bawah terma dan syarat polisi.

PENEMUAN

Penanggung insurans merujuk kepada peruntukan polisi yang secara khusus mengecualikan sebarang kerugian atau kerosakan akibat penipuan atau jenayah pecah amanah.

Jenayah pecah amanah merujuk kepada perbuatan mengambil harta hak milik orang lain yang telah diamanahkan dengan niat untuk memiliki atau memindahkan harta tersebut secara tidak sah. Dalam kes ini, Luis telah memberikan kepercayaan kepada pembeli tersebut untuk memandu uji kenderaan, memenuhi unsur-unsur jenayah pecah amanah.

KEPUTUSAN

Pengurus Kes telah mengeluarkan syor memihak kepada penanggung insurans kerana keputusan mereka adalah selaras dengan terma dan syarat polisi motor yang mengecualikan perlindungan bagi kerugian akibat jenayah pecah amanah.