Insurans Perjalanan – Pembatalan Perjalanan kerana Kuarantin Sendiri

Manjit dan isterinya dijadualkan untuk melancong ke luar negara. Malangnya, Manjit telah disahkan menghidap penyakit berjangkit yang sangat mudah merebak. Memandangkan penyakit itu berjangkit dan isterinya merupakan kontak rapat, doktor yang merawat telah menasihati kedua-duanya untuk menjalani kuarantin kendiri.

Akibatnya, mereka terpaksa membatalkan perjalanan tersebut dan telah mengemukakan tuntutan kepada syarikat insurans mereka. Namun, tuntutan mereka telah ditolak atas alasan bahawa perlindungan di bawah faedah Pembatalan Perjalanan hanya terpakai sekiranya pembatalan berpunca secara langsung dan perlu daripada ‘Punca Tertentu’ (Specified Cause), dan kuarantin kendiri berkaitan penyakit berjangkit tidak diliputi di bawah polisi.

PENEMUAN KAMI

Berdasarkan semakan terhadap perkataan dalam polisi, kami mendapati bahawa istilah ‘Kuarantin Wajib’ tidak ditakrifkan secara khusus dalam polisi. Menurut takrif kamus, kuarantin adalah konsep yang dibangunkan oleh masyarakat untuk melindungi diri daripada penularan penyakit berjangkit.

Dalam kes ini, pihak pengadu jelas mematuhi nasihat doktor yang merawat untuk menjalani ‘kuarantin kendiri’.

KEPUTUSAN

Memandangkan tiada takrif yang jelas bagi istilah ‘Kuarantin Wajib’ dalam polisi, Pengurus kes ini telah menggunakan kaedah tafsiran kontrak contra proferentem dan mengeluarkan syor yang memihak kepada Manjit. Contra proferentem ialah prinsip tafsiran kontrak yang menyatakan bahawa sebarang kekaburan dalam kontrak harus ditafsirkan terhadap pihak yang menggubal kontrak tersebut.

Syarikat insurans menerima syor kami dan membayar sepenuhnya tuntutan bagi kos pembatalan perjalanan.