Joey merupakan pihak ketiga yang menuntut dalam kemalangan melibatkan pemandu yang diinsuranskan, Amy, yang didapati bersalah. Joey kemudiannya mengemukakan tuntutan hilang guna kenderaan, juga dikenali sebagai Pampasan untuk Tempoh Pembaikan yang Dianggarkan (CART).
Walau bagaimanapun, penanggung insurans menolak tuntutan tersebut kerana Amy tidak mempunyai lesen memandu yang sah ketika kemalangan berlaku. Penanggung insurans menyatakan bahawa pelanggaran syarat oleh pemandu yang diinsuranskan memberi hak kepada mereka untuk menolak liabiliti kepada pihak ketiga yang menuntut atau sebarang tuntutan lain yang timbul daripada kemalangan tersebut.
PENEMUAN
Penanggung insurans mengemukakan saman polis sebagai bukti bahawa Amy tidak mempunya lesen memandu yang sah ketika kemalangan berlaku.
Penanggung insurans merujuk kepada peruntukan berikut:
Seksyen D: Pengecualian Am
Pemandu Tanpa Lesen
Polisi ini tidak memberi perlindungan jika Anda atau Pemandu Dibenarkan tidak mempunyai lesen yang sah untuk memandu kereta Anda. Pengecualian ini tidak dikuat kuasakan sekiranya Anda atau Pemandu Dibenarkan memiliki lesen yang telah tamat tempoh tetapi tidak hilang kelayakan memiliki atau memperolehi lesen memandu di bawah undang-undang, undang-undang kecil, atau peraturan yang ada.
Seksyen 26 Akta Pengangkutan Jalan 1987 (RTA) menetapkan peraturan berkaitan lesen memandu seperti berikut:
"(1)Kecuali sebagaimana yang diperuntukkan selainnya dalam Akta ini, tiada seorang pun yang boleh memandu sesuatu kenderaan motor daripada apa-apa kelas atau perihalan, di sesuatu jalan melainkan jika dia adalah pemegang sesuatu lesen memandu yang membenarkannya memandu sesuatu kenderaan motor daripada kelas atau perihalan itu, dan tiada seorang pun boleh mengambil kerja atau membenarkan seseorang lain memandu sesuatu kenderaan motor di jalan melainkan jika orang yang diambil kerja atau dibenarkan memandu itu adalah pemegang sesuatu lesen memandu sedemikian.
(2)Mana-mana orang yang melanggar subseksyen (1) melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak kurang daripada tiga ratus ringgit dan tidak lebih daripada dua ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga bulan atau kedua-duanya."
KEPUTUSAN
Ombudsman membuat keputusan yang memihak kepada penanggung insurans. Pemandu yang diinsuranskan didapati memandu tanpa lesen yang sah, dimana melanggar peraturan syarat polisi. Oleh itu, penanggung insurans berhak menolak tuntutan pihak ketiga yang menuntut itu.
Walau bagaimanapun, Joey masih mempunyai saluran undang-undang secara langsung dan boleh menuntut pampasan dengan memfailkan tindakan peribadi terhadap Amy.
