Urus Niaga Produk Berstruktur

Pengadu, yang telah bersara berumur 71 tahun, telah melabur sebanyak RM650,000 dalam pelaburan autocallable selama enam bulan pada Oktober 2020 yang diperkenalkan oleh pengurus perhubungan banknya. Beliau percaya produk tersebut adalah pelaburan yang selamat dan berisiko rendah dengan pulangan sebanyak 8%, namun mendakwa pihak bank gagal menjelaskan bahawa produk itu tidak dilindungi modal (non principal-protected).

Apabila pelaburan tersebut matang pada April 2021, beliau mengalami kerugian melebihi RM159,000 dan kemudian menanggung kerugian tambahan selepas digalakkan untuk membeli lebih banyak saham asas produk tersebut. Beliau menuntut pampasan sehingga RM250,000.

PENDIRIAN INSTITUSI KEWANGAN

Institusi Kewangan berhujah bahawa mereka telah mematuhi semua keperluan yang ditetapkan. Profil risiko Pengadu telah dinilai sebagai “Sederhana ke Tinggi” (C4).

Dokumen seperti Helaian Sorotan Produk (Product Highlight Sheet) dan Penyata Pendedahan Risiko (Risk Disclosure Statement) dengan jelas menyatakan bahawa produk tersebut tidak dilindungi modal, dan panggilan pengesahan yang dirakam menunjukkan beliau mengakui perkara tersebut. Pihak bank juga menafikan bahawa mereka menasihati pengadu untuk membeli saham individu kerana perkara itu berada di luar skop perkhidmatan yang dibenarkan.

DAPATAN UTAMA ADJUDIKASI

Walaupun Pengadu merupakan seorang pesara, beliau berpendidikan dan berpengalaman dalam hal kewangan, maka adalah munasabah untuk menjangka beliau memahami atau bertanya soalan dengan lebih lanjut tentang pelaburan tersebut. Dokumen yang ditandatangani dan rakaman panggilan mengesahkan bahawa beliau sedar produk itu tidak menjamin pulangan modal. Kegagalan Pengadu untuk mendapatkan penjelasan lanjut mengenai terma penting ini adalah tanggungjawab beliau sendiri.

Pengadu juga mempunyai beberapa pilihan untuk membatalkan pelaburan tanpa penalti, namun beliau memilih untuk meneruskannya. Kerugian daripada pembelian saham susulan dianggap berasingan dan tidak berpunca daripada tindakan pihak bank.

KEPUTUSAN ADJUDIKASI

Adjudikator memutuskan bahawa Pengadu tidak berjaya mengemukakan alasan kukuh untuk menuntut semula kerugian pelaburannya. Kerugian tersebut perlu ditanggung oleh Pengadu sendiri, kerana beliau membuat keputusan untuk meneruskan pelaburan walaupun menyedari risikonya. Tuntutan ditolak, dan tiada liabiliti dikenakan ke atas Institusi Kewangan.