John jatuh sakit akibat demam ketika transit di Singapura dalam perjalanan ke Jepun. Beliau mendapatkan rawatan perubatan, menjalani beberapa ujian yang menunjukkan keputusan negatif, dan diberikan ubat. Selepas berehat dan membuat pengaturan penerbangan alternatif, beliau meneruskan perjalanan ke Jepun. Setibanya di Jepun, keadaannya bertambah buruk, menyebabkan beliau mendapatkan rawatan lanjut.
Disebabkan kebimbangan mengenai kos perubatan dan halangan bahasa, John memutuskan, selepas berbincang dengan keluarganya, untuk pulang ke Malaysia bagi mendapatkan rawatan manakala keluarganya meneruskan perjalanan mereka.
Penanggung insurans menolak tuntutannya mengenai pemendekan perjalanan tersebut atas alasan bukti perubatan dari SIngapura dan Jepun tidak mencukupi.
PENEMUAN
John mendapatkan rawatan perubatan di Singapura dan Jepun. Beliau meneruskan perjalanannya selepas berasa lebih baik di Singapura tanpa sebarang diagnosis yang dikenal pasti pada ketika itu dan keputusan ujian COVID-19, influenza, dan denggi adalah negatif. Di Jepun, ujian lanjut juga memberikan keputusan negatif.
John menyatakan kebimbangan mengenai kos perubatan dan halangan bahasa di Jepun. Pemendekan perjalanan dianggap munasabah kerana kepulangannya ke Malaysia dapat mengelakkan kos yang lebih tinggi untuk beliau dan keluarganya daripada membeli tiket penerbangan pulang yang baru.
Setibanya di Malaysia, beliau segera dimasukkan ke hospital dan ujian diagnostik lanjut mengesahkan bahawa beliau menghidap pneumonia Klebsiella. Semua kos rawatan perubatan di Malaysia telah ditanggung oleh penanggung insurans perubatannya.
KEPUTUSAN
Berdasarkan keseluruhan keadaan, pengurus kes menekankan bahawa penanggung insurans sepatutnya mempertimbangkan tuntutan pemendekan perjalanan tersebut. Penanggung insurans kemudiannya meneliti semula keputusannya dan mengemukakan tawaran penyelesaian yang disemak semula. John menerima tawaran tersebut dan pertikaian berjaya diselesaikan.
